Saturday, March 22, 2014

PENJAGAAN ALAM SEKITAR




Alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya.Sebagai rakyat yang prihatin terhadap alam sekitar,mereka hendaklah sentiasa merenung keindahannya disamping berusaha menjaganya setiap masa.Oleh itu,pelbagai inisiatif boleh diambil dalam usaha untuk memulihkan,memelihara dan menjaga alam sekitar.

INISIATIF-INISIATIF YANG PATUT DIAMBIL

PERANAN KERAJAAN

Kerajaan amat serius terhadap isu alam sekitar.Beberapa akta untuk melindungi keindahan alam sekitar telah digubal.Antaranya termasuklah Akta Kualiti Alam Sekitar.Di bawah akta ini,pihak pencemar alam dikenakan hukuman berat.Garis Paduan Penilaian Kesan Alam Sekitar(EIA) pula menimbangkan kerosakan terhadap alam sekitar oleh sesuatu projek.Masyarakat yang mengetahui tentang kegiatan yang menjejaskan kualiti alam yang berlaku di sekeliling mereka hendaklah segera menghubungi Jabatan Alam Sekitar.Dalam pada itu,program kitar semula yang di uar-uarkan oleh kerajaan perlun diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula.Contohnya, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran.

PERANAN SEKTOR KORPORAT

Sektor korporat perlu memainkan peranan yang giat dalam usaha  memelihara alam.Sektor korporat bolehlah membuat pelaburan untuk mengindahkan sesuatu kawasan sebagai destinasi pelancongan.Kumpulan Berjaya umpamanya,telah berkerjasama dengan pencinta alam untuk membangunkan dan mengindahkan Pulau Redang.Sunway Lagoon dan Mines wonderland juga dibina di tapak bekas lombong yang gersang.Kawasan yang tandus dan kotor itu kini menjadi kawasan hijau.Usaha ini patut dijadikan teladan oleh sektor korporat yang lain.Hal ini kerana disamping dapat menhijaukan alam,pihak ini juga dapat mengaut keuntungan yang lumayan.

PENGGUNAAN TEKNOLOGI 

Sektor swasta boleh menggunakan teknologi dalam usaha memelihara keindahan alam sekitar.Di Malaysia,peruntukan undang-undang adalah merangkumi hampir segala aspek tentang alam sekitar namun adalah menjadi satu trend bagi pihak berkuasa untuk menumpukan kawalan ke atas masalah -masalah alam sekitar  yang telah serius  dan mendapat perhatian dan meminggirkan masalah biasa.Namun pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan kerana  untuk melakukan kawalan yang menyeluruh memerlukan kos yang tinggi.Pihak swasta perlu mengeluarkan sedikit wang dan tenaga untuk membantu pihak berkuasa menjalankan kawalan menyeluruh ke atas alam sekitar dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata. Pelaburan dalam usaha menjaga alam sekitar perlulah dilakukan di samping keinginan untuk mengaut keuntungan. Sektor swasta boleh berusaha mengitar semula barang buangan untuk menghasilkan barangan yang bermutu. Sebagai contoh ,plastik boleh dihancurkan menjadi serat halus. Serat halus boleh digunakan untuk menghasilkan kain khemah ,baju hujan ,dan sebagainya. Di samping itu ,sektor swasta juga boleh menjaga alam sekitar dengan mengeluarkan barang-barang terbiodegradasikan atau barang mesra alam yang mudah reput. Dengan ini ,sampah sarap yang berlonggokan dapat dikurangkan.

PERANAN PENGGUNA

Sebagai pengguna pula ,kita juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keindahan alam sekitar sentiasa terpelihara. Sungguhpun kesedaran rakyat tentang alam sekitar telah meningkat ,tetapi kesedaran ini masih belum dicapai peringkat yang realistik. Bagi memastikan persekitaran kita selamat untuk didiami ,orang awam perlu mengambil berat dan memberikan perhatian terhadap kebersihan didalam dan juga diluar rumah mereka terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi dari rumah. Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan ,misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan sistem perparitan ,kerana ia akan menyebabkan saliran tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlaku banjir dan sebagainya.Untuk memastikan keindahan alam sekitar,setiap rumah juga digalakkan menanam pokok dan membangunkan taman bunga sendiri.Sumbangan benih pokok juga mungkin boleh disalurkan ke setiap rumah.Dengan cara ini,ia membantu membangunkan bumi serta dapat mengekalkan oksigen.Sayur-sayuran juga boleh ditanam untuk sara diri dan juga menjaga kehijauan alam.Suri rumah tangga  yang membeli beleh juga digalakkan membawa bakul sendiri.Sikap ini akan mengurangkan penggunaan beg plastik,yang kebanyakannya akan di buang kelak.Beg plastik bukan bahan yang terbiodegradasikan yang boleh mencemari alam sekitar.

PERANAN PERSATUAN ALAM SEKITAR

Kita juga boleh menyertai persatuan alam sekitar,pertubuhan sukarela,dan badan sosial yang lain.Di Malaysia,terdapat Persatuan Perlindungan Alam Sekitar(MASA) dan Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Alam Sekitar(ENSEARCH).Kempen-kempen kesedaran selalu dianjurkan oleh pertubuhan sedemikian.Pertubuhan ini juga sering menganjurkan gotong-royong penbersihan alam.Jadi pelibatan kita dalam pertubuhan sedamikian amat penting.Kita boleh menganggotai pertubuhan sedemikian atau menghulurkan bantuan kewangan.Sumbangan kita pasti membolehkan kegiatan menyelamatkan alam lebih berjaya.

MENGIKIS SIKAP TIDAK BERTANGGUNGJAWAB 

Kita perlulah mengikis sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.Sikap membuang sampah sesuka hati,menconteng pokok-pokok, dan sebagainya perlu dijauhi.Kita tidak boleh mementingkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup memusnahkan alam.Sebagai contoh,penternak perlulah menyediakan loji pelupusan air kumbahan agar air kumbahan ternakan mereka tidak mencemari alam sekitar.Pengilang pula janganlah membuang bahan sisa bertoksik terus ke alam.Mereka harus mendirikan loji pelupusan bahan sisa bertoksik untuk menyelamatkan alam.Oleh itu,kita hendaklah menggiatkan lagi usaha dalam menjaga kebersihan alam sekitar kita.

KESIMPULAN

Usaha penjagaan alam sekitar melibatkan semua pihak.Kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini perlulah memainkan peranan yang penting di dalam menjaga dan memulihara alam sekitar.Kalau bukan kita yang menjaganya siapa lagi.Sikap dan mentaliti dari dalam diri perlu disemai sejak bangku sekolah lagi.Oleh itu, semua masyarakat diharapkan lebih peka akan peranan dan tanggungjawab demi berdamai dengan alam sekitar.

Posted by yana at 10:16 AM



Wednesday, November 7, 2012

Pemanasan Global - Punca-punca dan Kesan-kesannya



GAMBARAJAH DI BAWAH MENUNJUKKAN KEJADIAN FENOMENA PEMANASAN GLOBAL



Pengenalan

Bumi adalah satu-satunya planet yang ada kehidupan. Ia digelar sebagai "The Living Planet". Mengapa digelar sebagai Lining Planet?. Ya kerana di planet bumi wujudnya kehidupan. Iaitu kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Memang kita mengakui bahawa terdapat juga kehidupan lain seumpama malaikat dan makhluk-makhluk lain seperti syaitan dan iblis.

Mengapa hanya di bumi ini yang boleh didiami oleh makhluk-makhluk di atas? Ya, makhluk-makhluk di atas hanya boleh hidup di dalam lingkungan persekitaran yang terdapat di bumi. Suhu, kelembapan, bahangan dan peredaran udara yang memungkinkan makhluk-makhluk di bumi boleh hidup dan meneruskan kehidupan. 

Walaupun dipermukaan bumi ini iklimnya pelbagai, namun secara umumnya ianya Allah jadikan sesuai untuk tiga jenis makhluk hidup. Allah Maha berkuasa yang menentukan persekitaran bumi sesuai dari segi iklim dan cuacanya. 

Manusia, malah binatang dan tumbuh-tumbuhan tidak boleh hidup di planet-planet lain sseperti di marikh, bulan, zuhal, pluto dan lain-lain. Mengapa? Kerana suhu, kelembapan, aliran angin dan bahang yang tidak memungkinkan kehidupan hidup. Oleh itu planet-planet tersbut tiada kehidupan dan 'non-living planet !'.

Bagaimana Allah menjadikan planet bumi ini 'living'?

Pancaran matahari ke planet bumi telah menjadikan bumi menjadi kepanasan yang mencukupi untuk penjanaan tenaga. Pokok-pokok dapat membuat makanan melalui proses fotosintisis dan Oksigen dilepaskan untuk pernafasan manusia dan haiwan. Proses pemelowapan berlaku apabila kelembapan permukaan bumi menerima pancaran matahari. Dipermukaan bumi juga Allah jadikan pelbagai jenis gas untuk keperluan kehidupan-kehidupan dipermukaan bumiNya, suatu sistem yang seimbang. Manusia umpamanya menyedut Oksigen yang dikeluarkan tumbuh-tumbuhan dan CO2 dibebaskan di dalam proses pernafasan. 

Bumi memantulkan haba ke atmosfera dari permukaan bumi bagi menyeimbangkan suhu bumi dan permukaannya dan berlaku keseimbangan suhu, kelembapan, alirudara dan bahang. Terdapat jga gas-gas rumah hijau di permukaan bumi iaitu Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida dan lain-lain. Gas-gas tersebut penting dan sengaja Allah ciptakan agar bumi berada di dalam kawal suhu yang sesuai untuk kehidupan di bumi. Dan kewujudan gas-gas tersebut dengan kuantiti yang tertentu yang dijadikan Allah sememang tepat dan menyebabkan bumi tidak terlalu sejuk atau panas seperti planet-planet lain yang digelar sebagi 'non-living planet'.


Fenomena Pemanasan Global

Pemanasan global merupakan satu fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau yang mana kumpulan gas ini menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Sifat kumpulan gas ini ialah membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahangan bumi ke atmosfera. Di dalam keadaan semulajadi, kandungan gas rumah hijau tepat bagi keperluan suhu global bumi. Namun hasil dari aktiviti manusia di dalam bentuk pembakaran bahan-bahan api fosil, kandungan karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida dan lain-lain telah meningkat secara berterusan. 

Kebiasaannya, fenomena pemanasan global dapat dirasai dengan lebih jelas di kawasan kutub utara dan selatan, kawasan pembangunan perindustrian, kawasan perbandaran dan banyak lagi tempat dunia.


PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PEMANASAN GLOBAL

1. PERINDUSTRIAN




Aktiviti perindustrian merupakan punca utama kepada fenomena pemanasan global. Pembakaran bahan api fosil seperti minyak, gas dan arang batu bagi menggerakkan mesin dan jentera telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas karbon dioksida.

Banyak di dalam proses pengeluaran produk-produk industri, tenaga haba diperlukan dan ianya dihasilkan melalui proses penghasilan haba seperti pembakaran bahan api fosil di dandang-dandang (boilers).


Contoh industri yang banyak membakar bahan api fosil ialah seperti di dalam industri pengeluaran simin, pengeluaran besi, pengeluaran kain, pengeluaran makanan, pengeluaran bahan-bahan elektronik, elektrik, bahan-bahan binaan dan sebagainya.


Semakin banyak haba diperlukan di dalam industri, semakin banyak gas karbon dioksida dihasilkan, semakin banyak haba yang dan terperangkap oleh lapisan gas lalu meningkatkan suhu udara secara global.

2. PENJANAAN TENAGA ELAKTRIK




Penghasilan tenaga elektrik di pusat-puat penjanaan tenaga elektrik yang menggunakan bahan api fosil juga telah menyebabkan pelepasan gas karbon dioksida yang mendadak. Keseluruhan negara di dunia menggunakan bahan api fosil untuk penjanaan tenaga elaktrik yang merupakan keperluan di dalam semua sektor kehidupan sama ada di sektor kediaman, pentadbiran, perniagaan, perindustrian, pengangkutan dan perkhidmatan. Malaysia sebagai contoh menggunakan hampir 80% penjanaan tenaga elektrik melalui pembakaran bahan api fosil, walaupun hampir 20% melalui penjanaan hidro elektik. 





3. PENYEDIAAN KEPERLUAN AKTIVITI PERNIAGAAN, PEJABAT DAN KEDIAMAN

Aktiviti manusia di sektor perniagaan, pentadbiran mahupun dirumah kesemuanya bergantung kepada tenaga elektrik dan tenaga haba yang mencukupi bagi menyediakan persekitaran yang selesa. Kesemua itu asasnya ialah pembakaran bahan-bahan api fosil. Jadi aktiviti sedemikian secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan karbon dioksida di permukaan bumi. Semakin banyak diperlukan elektrik dan pendingin hawa atau pemanas persekitaran, semakin banyaklah karbon dioksida dihasilkan.

4. PENGANGKUTAN

Kenderaan bermotor kini merupakan pengangkutan utama bagi manusia memudahkan pergerakan mereka di bumi ini.

Penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak sebagai bahan bakar utama bagi menggerakkan enjin kenderaan khususnya minyak tanpa plumbum telah banyak membebaskan gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida


5. PEMBAKARAN HUTAN

Kegiatan pembakaran hutan secara besar-besaran dan berleluasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi menjalankan aktiviti pertanian, petempatan atau sebagainya telah menyumbang kepada pemanasan global


Pembakaran hutan telah menyebabkan imbangan kandungan oksigen dengan karbon dioksida tidak seimbang. Lebihan karbon dioksida terjadi dan berlakulah pemanasan global
Asap yang terbebas ke angkasa daripada pembakaran hutan juga mengandungi banyak gas karbon dioksida.


6. PERTANIAN DAN PENTERNAKAN
Aktiviti pertanian yang menggunakan racun-racun serangga dan baja kimia secara berlebihan.

Penggunaan racun-racun serangga dan baja kimia yang secara berlebihan ini telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas metana.
Kegiatan perternakan juga menyebabkan berlakunya pemanasan global. Hasil buangan najis haiwan ternakan seperti kambing dan lembu telah menghasilkan dan membebaskan banyak gas metana ke angkasa.



7. LETUSAN GUNUNG BERAPI




Selain punca pemanasan global yang disebabkan oleh aktiviti manusia terdapat juga disebabkan oleh faktor semulajadi iaitu letusan gunung berapi.

Letupan gunung berapi yang banyak mengeluarkan asap dan debu yang mengandungi banyak gas rumah hijau contohnya karbon dioksida, gas karbon monoksida, gas sulfur dioksida dan sebagainya telah menyumbang kepada berlakunya pemanasan global.

Contoh gunung berapi yang pernah meletus ialah Gunung Tambore di Sumbawa dan Gunung Krakatoa di Selat Sunda.


KESAN-KESAN AKIBAT PEMANASAN GLOBAL

1. Peningkatan Suhu Global

Peningkatan suhu secara global sudah tentu akan mencairkan litupan salji dan glasier di kawasan-kawasan pergunungan dan kedua-dua kutub. Kenaikan air laut akibat pencairan ais berupaya memberi dampak yang dahsyat seperti kejadian banjir besar terhadap negara-negara kepulauan contohnya Fiji dan Maldives serta negara-negara pada ketinggian yang rendah contohnya Belanda dan Bangladesh. Akibat pencairan ais yang menyebabkan kejadian banjir besar ini akan mengakibatkan kemusnahan bukan sahaja nyawa manusia dan harta benda akan musnah tetapi bekalan makanan seperti tanah-tanah pertanian yang subur akan turut termusnah.

2. Ganguan kepada hasil tanam-tanaman.

Suhu bumi yang tinggi menyebabkan tanah-tanah yang subur menjadi tandus dan tidak sesuai bagi aktiviti pertanian. Pokok-pokok tanaman juga tidak dapat hidup dengan subur seterusnya mengurangkan hasil pertanian. Walaupun hanya berlaku perubahan kecil pada suhu, taburan hujan dan sinaran matahari, ia boleh menyebabkan hasil pertanian terjejas teruk, sekaligus mengancam bekalan makanan dunia.
Kekeringan sumber air permukaan bumi / kemarau menyebabkan proses sejatan tidak mempunyai wap-wap air untuk membentuk awan yang tebal bagi menurunkan hujan. Kadar hujan berkurangan, udara menjadi kering dan persekitaran menjadi panas. Dalam keadaan udara kering memudahkanterbentuknya jerebu/ partikulat-partikulat terampai. 


3. Perubahan Iklim
Pemanasan global mengakibatkan peningkatan suhu di Lautan Pasifik. Hal ini mengubah pola tiupan angin lazim dari darat ke laut akibat perbezaan tekanan yang hebat. Kesannya angin kencang bertiup ke barat Pasifik menyebabkan cuaca panas dan angin lembab pula bertiup ke timur Pasifik menyebabkan kejadian ribut, banjir dan taufan. Fenomina tersebut menyebabkan berlakunya perubahan besar terhadap iklim yang sisebut sebagai 'Climate Change".

Perut Bumi Kian Kering


Perut bumi makin kering
Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
abror@hmetro.com.my

JAWATAN Pengurus Kecekapan Tenaga di pejabat? Tiada yang aneh atau melucukan jika kita memang benar-benar berfikiran jauh dan mahu memanjangkan hayat keselesaan hidup seperti hari ini.

Ketika dunia menghadapi krisis makanan yang semakin berkurangan atau terlalu mahal, harga petroleum meningkat seperti tidak dapat dikekang sama sekali dan ancaman bencana alam berterusan, majoriti penduduk dunia masih leka dengan keselesaan seolah-olah tiada satu apa pun yang membimbangkan.

Masalah itu merunsingkan. Memang, tetapi ia tidak cukup untuk mendesak kita berfikir lebih jauh daripada persekitaran sangat terhad.

Barangkali fakta ini dapat membantu pemahaman anda:


# Ketika ini ada 98 negara pengeluar minyak di seluruh dunia dan 64 daripadanya dianggap melepasi tahap penghasilan puncak.

# Enam puluh daripada negara itu mula mengalami penurunan pengeluaran.

# Pengeluaran petroleum dari telaga minyak terbesar dunia, Ghawar, di Arab Saudi dijangka mula menurun sekitar 2010, atau mungkin ia kini bermula.

# Pengeluaran dari telaga minyak terbesar di Mexico, Cantarell, merosot dari 1.99 juta tong sehari pada Januari 2006 kepada 1.44 juta tong pada Disember 2006. Penghasilan purata Cantarell pada Disember adalah 2.98 juta tong sehari, turun di bawah 3 juta tong untuk kali pertama sejak enam tahun.

# Zaman bersenang-lenang warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan petroleum mula berakhir. Walaupun mendapat keuntungan besar daripada penjualan bahan itu, jangkaan permintaan keperluan elektrik UAE meningkat dan boleh menjadi dua kali ganda menjelang 2015 atau tiga kali ganda menjelang 2020.

Pada 1956, ahli geologi, M King Hubbert, meramalkan pengeluaran petroleum Amerika Syarikat mencapai kemuncaknya pada akhir 1960-an sebelum ia mula menurun tidak lama kemudian.

Walaupun jangkaan itu ditertawakan kebanyakan pihak, masa membuktikan Hubbert ternyata benar dalam ramalannya.

Penemuan itu menjadi rujukan dalam perbincangan mengenai isu petroleum dunia dan ia digelar sebagai Hubbert’s Peak.

Hubbert mendapati, petroleum sama seperti sumber alam semula jadi lain mempunyai tempoh hayat tersendiri dan pola sekata: peringkat permulaan, pertengahan (juga kemuncak) dan kemerosotan.

Ketika sumber bekalan petroleum semakin merosot, bagaimana kesedaran manusia terhadap kelestarian alam? Menyedihkan.

Justeru, kita sangat mudah melihat keadaan pembaziran berlaku secara meluas dan tidak terkawal. Penggunaan elektrik berlebihan dan melampau, misalnya.

Dalam satu kajian di kawasan kampus sebuah universiti di utara Malaysia, didapati daripada 260 bangunan dengan keluasan 350,000 meter persegi, penggunaan tenaga elektriknya sebanyak 33,590,000 kilowattjam (kWj) menyebabkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu membayar bil kira-kira RM8 juta setahun.

Pensyarah Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar, berkata penggunaan elektrik berkait secara langsung dengan kelestarian alam sekitar.

Katanya, melalui amalan penyeliaan baik, banyak tenaga, termasuk wang dapat dijimatkan.

“Kaedah penyeliaan baik ini tidak memerlukan pelaburan baru seperti ubah suai bangunan atau penukaran peralatan elektrik di bangunan,” katanya.

Mengambil contoh IPT tadi, katanya, amalan penyeliaan baik dapat menjimatkan kira-kira 10 peratus penggunaan elektrik yang bernilai kira-kira RM800,000 setiap tahun atau RM2.5 juta jika 35 peratus setahun dicapai.

Jumlah itu adalah satu angka besar dan menjadi lebih signifikan jika dilakukan secara menyeluruh di semua IPTA yang pada umumnya membayar bil sekitar RM1 juta sebulan.

Dengan penurunan permintaan elektrik yang ketara, penyedia bekalan (Tenaga Nasional) dapat menjimatkan berbilion ringgit wang untuk mendapatkan bahan bakar (petroleum) dan menyediakan rangkaian bekalan kepada pengguna.

Fakta yang perlu diakui dan difahami – setitis bahan bakar terbentuk di perut bumi memerlukan tempoh berjuta-juta tahun untuk dihasilkan, tetapi hanya sedetik untuk dimusnahkan.

Mungkinkah hidup dapat diteruskan jika akhirnya tamadun petroleum ini berakhir dengan pupusnya bahan bakar itu?

Apabila dikatakan tamadun petroleum berakhir, ia bukanlah bermakna bahan bakar itu kering mutlak dari muka bumi.

Ia mungkin masih ada tetapi kos untuk menggali dan memanfaatkannya jauh lebih tinggi berbanding keuntungan dagangannya.

Ia kira-kira samalah dengan tamadun zaman batu, tembaga atau ais. Semua bahan itu masih ada tetapi penggunaannya tidak praktikal disebabkan keadaan semasa.

Maka, perlu ditanya semula, mungkinkah hidup dapat diteruskan jika akhirnya tamadun petroleum ini berakhir dengan pupusnya bahan bakar itu? Mungkin.

Dengan memulihara sumber alam semula jadi, banyak masalah dapat dielakkan. Pemanasan global yang berkait rapat dengan krisis bekalan makanan, misalnya.

Menurut Mohd Zin, amalan menggunakan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT) dapat meminimumkan penggunaan elektrik sama ada di rumah, tempat awam atau pejabat.

“Mungkin perlu diwujudkan jawatan Pengurus Kecekapan Tenaga di pejabat sebagai langkah memantau, mengawal dan mengurus penggunaan elektrik menjadi optimum,” katanya.

Berdasarkan kajian, kira-kira 60 peratus tenaga elektrik dibazirkan akibat reka bentuk dan pengurusan salah bangunan di negara ini. Dengan mengamalkan penyeliaan baik dan program pengurusan tenaga yang betul, purata 10 peratus tenaga dapat diselamatkan.

Menurut kajian Mohd Zin, bangunan komersial dan pejabat di Malaysia hari ini mencapai Indek Tenaga Bangunan (BEI) purata sebanyak 250kWh bagi setiap meter persegi setahun.

Walaupun Jabatan Standard Malaysia mengeluarkan garis panduan supaya bangunan pejabat direka bentuk dengan sasaran BEI 135kW/j setiap meter persegi setahun, pencapaian serendah 100kW/j boleh dicapai seperti dibuktikan sebuah bangunan berkonsep Pejabat Guna Tenaga Rendah (Low Energy Office) di Putrajaya yang membuktikan potensi penjimatan sehingga melebihi 50 peratus tenaga berbanding bangunan yang sedia ada di seluruh Malaysia hari ini.

Ahli profesional seperti arkitek dan jurutera, sebenarnya boleh membuat sumbangan besar jika reka bentuk bangunan berasaskan ciri-ciri cekap tenaga diaplikasikan.

Masalahnya, tahap kesedaran dan amalan berkaitan kecekapan tenaga masih rendah sama ada di kalangan orang ramai mahupun kakitangan kerajaan dan pereka bentuk bangunan.

Dalam kajian berjudul ‘Program Pengurusan Tenaga Di Bangunan’ mendapati tahap kesedaran dan amalan terhadap penggunaan dan menguruskan tenaga elektrik didapati masih tidak memuaskan. 

Di salin dari: http://satuumat.blogspot.com/2008/05/perut-bumi-makin-kering.html

Setiap Negara Mesti Jadi Sebahagian Penyelesaian Kesan Pemanasan Global

Oleh Mohd Nasir Yusoff

NUSA DUA (Bali), 12 Dis (Bernama) -- Sambil menegaskan negara-negara maju mesti melakukan lebih banyak usaha bagi menangani kesan pemanasan global, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyeru setiap negara seharusnya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya menjadi sebahagian masalah yang merumitkan itu.

Beliau berkata negara-negara maju mesti terus menerajui kepimpinan berhubung perubahan iklim, melakukan usaha lebih giat bagi mengurangkan pengeluaran asap dan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara membangun.

"Mereka mesti meningkatkan perkongsian teknologi bahan bakar lebih cekap dengan negara-negara membangun, mereka mesti meningatkan aliran kewangan bagi mitigasi dan penyesuaian di negara-negara membangun.

"Negara-negara maju mempunyai keupayaan, mereka mempunyai sumber kewangan dan mereka mempunyai teknologi untuk melakukan perkara ini," katanya dalam ucaptama pada sesi pleno peringkat tinggi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCCC) di sini pada Rabu.

Memuji negara-negara dan rantau yang bertindak proaktif mengambil tindakan segera, adalah kritikal bagi negara-negara maju mengadakan lebih banyak perkongsian aktif dengan negara-negara membangun bagi melindungi hutan-hutan mereka menerusi kaedah pampasan dan insentif yang kreatif.

Melainkan jika manusia mencipta mesin yang boleh menyerap karbon dioksida daripada atmosfera yang menurut Susilo tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat, beliau berkata hanya hutan-hutan menjadi pilihan bagi resapan karbon.

Beliau turut memberitahu sejumlah kira-kira 10,000 peserta dari 190 negara bahawa bagi mengekalkan aset-aset sumber semula jadi, Indonesia bersama-sama Malaysia dan Brunei telah mewujudkan satu program besar " Heart of Borneo" yang bertujuan memulihara 22 juta hektar hutan hujan tropika.

"Kami (Indonesia) telah meningkatkan kempen perhutanan kebangsaan kami. Pada tahun ini sahaja, kami menanam 89 juta pokok. Apabila pokok-pokok cukup membesar beberapa tahun akan datang, pokok-pokok berkenaan akan menyerap bersama puluhan juta tan CO2 (karbon dioksida) yang terdapat dalam atmosfera," katanya.

Negara-negara membangun mesti turut memainkan peranan mereka, katanya, sambil menambah kata bahawa negara berkenaan mesti komited dalam pembangunan secara mapan, mengambil kira kepentingan alam sekitar dalam arus pembangunan dan berusaha melindungi dan memulihara hutan.

Bagi persidangan 12 hari yang akan tamat pada 14 Dis, beliau berkata mereka berada di sini bukan untuk mendengar cerita tentang bahaya pemanasan global atau menuding jari, tetapi membentuk hala tuju dan menggubal rangka kerja menyeluruh mengenai perubahan iklim mengikut Persidangan Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Sehubungan itu, Susilo berkata adalah kritikal bagi persidangan itu menghasilkan Pelan Tindakan Bali, pada akhir persidangan yang menyaksikan lebih 900 acara diadakan sepanjang tempoh 12 hari itu.

"Kami menyeru semua yang berada di sini menyelesaikan rangka kerja Protokol Kyoto dalam dua pertemuan di Poland dan Denmark. Dengan Pelan Induk Bali, kita boleh segera memulakan perundingan giat bagi merumuskan satu rangka kerja pelbagai hala pasca-2012 mengenai perubahan iklim," katanya.

Beliau mahu pelan tindakan itu mempunyai agenda jelas mengenai apa yang ingin dirundingkan, termasuk pembinaan blok utama yang dikenalpasti sekurang-kurangnya mengandungi mitigasi, penyesuaian, kewangan dan teknologi dan Pelan Tindakan Bali mesti mempunyai jangka waktu bagi menyelesaikan tugas.

Presiden Indonesia itu berkata persidangan itu harus memastikan ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat yang menjadi pengeluar terbesar pelepasan gas rumah hijau dan peneraju teknologi, menjadi sebahagian pakatan pasca-2012 kerana jika tidak isu perubahan iklim tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Perubahan iklim yang mengandungi isu kompleks, akronim yang sukar diingati, istilah teknikal dan mekanisme sukar tetapi hakikatnya mempunyai formula mudah bagi menyelesaikannya iaitu "Kurangkan Asap, Perbanyak Resapan", katanya.

Turut hadir pada persidangan itu adalah Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon manakala Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid mewakili Malaysia.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=302129

KAJIAN AL-TABARI, IBN-ATHIR & AL-SUYUTI PERUBAHAN CUACA DUNIA

Oleh: ismanusa

Ulamak-ulamak Islam dahulu bukan sahaja hebat didalam ilmu-ilmu al-Quran dan sunnah tetapi mereka menguasai segala aspek ilmu dunia yang dapat diambil pengajaran hinggalah hari ini. Seorang saintis Sepanyol dari University of Extremadura telah menemukan catatan perubahan cuaca yang dibuat didalam kitab kurun ke 9M dan 10M. Sumber kitab tersebut mencatatkan salji turun di Baghdad pada tahun 908, 944 dan 1007 hinggakan sungai-sungai membeku.
Kejadian   berlaku lebih 1000 tahun dulu berulang kembali buat pertama kalinya  pada zaman moden ini pada tahun 2008 – kitab tersebut banyak membantu  ahli kaji cuaca (meteorologist) lebih memahami perubahan cuaca yang  dialami sekarang.
Kitab ‘kuning’ yang merakamkan perubahan cuaca dunia yang ditulis oleh ulamak silam!
Petunjuk   tentang perubahan cuaca di Baghdad didapati dari penulis dan ulamak  masyhur Islam seperti al-Tabari (913AD), ibn al-Athir (1233AD) dan  al-Suyuti (1505AD); dimana mereka ini telah merakamkan perubahan cuaca  dari masa ke semasa.
Penarang   utama journal Weather, Dr Fernando Dominguez berkata, “Maklumat cuaca yang diperolehi dari sumber silam ini secara khususnya merujuk kepada  keadaan yang melampau yang boleh menjejaskan masyarakat umum seperti  kemarau dan banjir”.
“Walau   bagaimanapun, mereka juga telah merakamkan keadaan yang melampau yang jarang berlaku di Baghdad pada masa silam seperti ribut airbatu,  sungai-sungai membeku atau terdapat juga keadaan bersalji”.
Kajian   tersebut memberikan maklumat berharga kepada saintis yang mencari jalan  tentang corak perubahan cuaca dunia yang berubah dalam jangkamasa yang  lama dan hinggalah kehari ini.
Beliau   menambah lagi; ” Kitab silam Arab ini amat berguna sebagai alat untuk mendapatkan gambaran saksi sebenar yang dapat menyokong teori yang  dibuat tentang perubahan cuaca. Keupayaan untuk membina kembali cuaca  sejak zaman silam memberikan kita sejarah berguna dalam memahami keadaan   cuaca sekarang”.

Disalin dari: http://aki2004.wordpress.com/2012/03/01/kajian-al-tabari-ibn-athir-al-suyuti-perubahan-cuaca-dunia/

Malaysia juga boleh tenggelam jika ais di Greenland cair sepenuhnya



Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia terutama kawasan pesisir pantai berisiko ditenggelami air laut jika lapisan ais di Greenland cair sepenuhnya. Pakar geologi, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, risiko itu timbul kerana kejadian ais cair di pulau berhampiran Kutub Utara tersebut jika berterusan boleh menyebabkan paras air laut termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka meningkat
ais dari greenland malaysia juga boleh tenggelam jika ais di greenland cair

Aisberg yang besar tiba di Newfoundland, Goose Cove pada pertengahan bulan Julai. “Bongkah ais terapung ini datang dari Greenland. “Apabila air laut meningkat maka daratan Malaysia akan ditenggelami air laut terutama kawasan pesisir pantai yang berada pada kedudukan rendah “Risiko ini bagaimanapun tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pencairan ais di Greenland akibat pemanasan global berlaku secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian kecairan glasier yang luar biasa di Greenland pada bulan ini yang membabitkan kawasan lebih luas berbanding sepanjang tempoh 30 tahun lalu. Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan hampir 97 peratus permukaan glasier di Greenland mula mencair. Sebuah bongkah ais gergasi dua kali lebih besar daripada Manhattan, Amerika Syarikat atau hampir menyamai saiz Pulau Tioman di Malaysia turut pecah.

Ibrahim berkata, fenomena pemanasan global menjadi punca lapisan ais di Greenland cair dan ini telah mengakibatkan paras air laut di Malaysia meningkat satu hingga dua milimeter setiap 10 tahun. Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais di Greenland ialah dengan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global. Sementara itu, Pakar Oseanografi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus pula memberitahu, peningkatan paras air laut akan menyebabkan kawasan-kawasan rendah di negara ini dinaiki air dan banjir kilat berlaku lebih kerap
“Kawasan rendah yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini berkemungkinan berlaku banjir dan proses untuk air surut akan mengambil masa lebih lama,” jelasnya.

Menurut Kamaruzaman, kecairan ais yang berlaku dan kesannya kepada negara ini adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal, pembebasan karbon dioksida (CO2) dan pertambahan penduduk manusia. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Yap Kok Seng pula ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang memantau perkembangan di Greenland serta akan mengkaji kesan fenomena itu terhadap Malaysia-kosmo


Read more: http://www.enciknakal.com/2012/07/malaysia-juga-boleh-tenggelam-jika-ais-di-greenland-cair.html#ixzz2BakHF1NA

AMALKAN PENGGUNAAN LESTARI BAGI KURANGKAN KESAN PEMANASAN GLOBAL


PDFPrintE-mail
WRITTEN BY ADMINISTRATOR   
THURSDAY, 17 JUNE 2010 10:54
Krisis alam sekitar sedang berlaku dan kita sudahpun mengalami dan kesan-kesan perubahan adalah jelas di depan mata kita. Pemanasan global, sisa buangan berbahaya, pencemaran udara dan juga kekurangan sumber adalah di antara kerisauan-kerisauan yang memuncak.

Mengikut Menteri Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas, sejak 50 tahun dahulu, purata suhu tahunan Malaysia telah meningkat sebanyak 1.1 darjah Celsius, konsisten dengan pemanasan suhu global. Kesan-kesannya merangkumi perubahan dalam corak hujan dan juga banjir kilat. Kajian-kajian yang terbaru juga menunjukkan paras laut juga sedang meningkat pada kadar 1.25mm setahun.

Karbon 
Pemanasan global berlaku adalah disebabkan oleh peningkatan gas rumah hijau yang berterusan seperti gas karbon dioksida ke dalam atmosfera bumi. Banyak perbualan dan aktiviti yang berkait-rapat dengan hijau juga berkaitan dengan satu perkataan, iaitu karbon. Salah satu perkataan yang selalu diperbualkan masa kini ialah carbon footprint (CF) atau dikenali sebagai tapak kaki karbon. 

Pengasas Maleki GmbH dan juga pemenang anugerah sebagai orang yang paling ‘hijau’ di dunia pada tahun 2008, Matthias Gelber menerangkan bahawa, tapak kaki karbon diterjemahkan kepada semua aktiviti kita yang memberi kesan kepada alam sekitar dan tukarkannya ke dalam satu bentuk kiraan untuk gas karbon dioksida yang kita hasilkan. Sebagai contoh, pada waktu pagi semasa memasak air dan elektrik digunakan. Elektrik yang digunakan akan muncul di dalam meter bulanan rumah dan boleh dikira. 

Jadi kita cuba bertanggungjawab sebagai individu dengan mengira jumlah gas karbon dioksida yang kita sendiri hasilkan. Apabila kita memandu, gas karbon dioksida dan gas-gas lain yang dihasilkan juga diambilkira. Dengan mengambil kira semua kiraan ini, kita akan mendapat satu bentuk mata wang.

“Semasa kita cakap tentang duit, we cakap mengenai Ringgit Malaysia. Semasa kita cakap tentang kesan alam sekitar dan pemanasan global, kita cuba dan guna gas karbon dioksida sebagai mata wang – kilogram ataupun ton gas karbon dioksida. Jadi, tapak kaki karbon adalah jumlah gabungan gas karbon dioksida dalam kilogram ataupun ton dan kita perlu memikul tanggungjawab ini secara individu.” Jelas Gelber.

Nombor 40

Pada masa kini, nombor 40 merupakan nombor yang berkaitan dengan beberapa statistik hijau. Semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu 2009 (COP 15) di Copenhagen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020 berbanding dengan tahap gas karbon dioksida tahun 2005. 

Hadkan Penggunaan Sumber Tenaga Yang Tidak Boleh Diperbaharui

Cara ini adalah cara yang paling berkesan untuk mengatasi perubahan iklim. Banyak orang telah berhenti menggunakan beg plastik dan tukar kepada bag yang mesra alam. Ini merupakan cara yang positif, tetapi mengikut pakar alam sekitar, mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu, petrol dan juga gas asli adalah lebih penting. Sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui ini tidak boleh dihasilkan semula dan kesannya kepada alam sekitar adalah memudaratkan. Pada masa yang sama, sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar, hidro, ombak dan juga angina merupakan sumber yang boleh diguna semula dan mesra alam.

Masa kini, penjanaan elektrik di Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil di mana ia merangkumi 85 peratus daripada jumlah elektrik yang dijana dalam negara. Penjanaan elektrik oleh sumber tenaga yang boleh diperbaharui hanya 1 peratus.

Mengikut penasihat sumber tenaga yang boleh diperbaharui untuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Ahmad Hadri Haris, tujuan kementerian adalah untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui sebanyak 9 peratus daripada jumlah penjanaan elektrik di Malaysia menjelang tahun 2020. 

Pengerusi Institusi Arkitek Malaysia Ar Dr Tan Loke Mun menerangkan bagaimana sektor hartanah boleh memainkan peranan. “Kita perlu mengambil tindakan yang cepat sedangkan kita masih mempunyai sumber tenaga seperti minyak dan juga gas asli untuk mengembangkan teknologi hijau dan juga mengaplikasikan lebih banyak sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Dengan petumbuhan populasi dan juga pembangunan, ia adalah penting untuk pembangun fikir dan bertindak untuk memastikan konsumer boleh menikmati kehidupan yang lestari dan berwawasan di era hidup yang berkos tinggi.” Ujar Tan. 

Insentif

Kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai untuk Bangunan Hijau dalam bajet 2009, di mana cukai akan dikecualikan untuk bangunan yang memperoleh pengiktirafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Pengarah Kanan PricewaterhouseCoopers Taxation Services Sdn Bhd (PwC) Margaret Lee berkongsi, “Sekarang, insentif cukai tidak diberi kepada orang umum yang membeli dan menggunakan asset-aset yang jimat tenaga. Kerajaan patut mendorong rumah tangga untuk membeli peralatan yang jimat tenaga seperti panel solar dan memberi insentif cukai kepada mereka.”

Pelan Jangka Lama
Membina rumah yang ‘hijau’ ataupun ‘menghijaukan’ rumah-rumah dan bangunan yang sedia ada mungin akan membabitkan kos yang lebih tinggi, tapi kita perlu memikirkan penjimatan jangka panjang. Dalam temu ramah dengan Datuk Ken Yeang, beliau memberitahu bahawa projek Solaris beliau yang bertapak di Singapura merupakan bangunan yang memperoleh pengiktirafan Green Mark Platinum di Singapura. Dalam bangunan Solaris, Yeang berkata bahawa penjimatan tenaga dan air ialah SGD700,000 setahun.

Green Mark dilancarkan oleh Singapore’s Building and Construction Authority (BCA). Ia adalah sistem penilaian untuk menilai bangunan dari segi kesan kepada alam sekitar dan juga prestasi. Di Malaysia, Indeks Bangunan Hijau (GBI) digunakan.

Satu Masa Depan Yang Lestari
Menuju ke arah kehidupan hijau sudah tidak boleh dinafikan. Pembaziran dan penghabisan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui, kos elektrik dan air akan meningkat. Apabila rumah dan bangunan memerlukan lebih tenaga untuk penyejukan dan penyalaan, lebih banyak sumber akan diperlukan. Oleh itu, ia adalah penting untuk mengambilkira orientasi rumah, rekabentuk dan juga bahan-bahan yang digunakan.

(Diedit dan diterjemahkan daripada artikel oleh Sherry Koh dalam Star Property)


Foon Weng Lian 
Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia
17 Jun 2010
Di salin dari: http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/perubahan-iklim/297-amalkan-penggunaan-lestari-bagi-kurangkan-kesan-pemanasan-global