Wednesday, November 7, 2012

Setiap Negara Mesti Jadi Sebahagian Penyelesaian Kesan Pemanasan Global

Oleh Mohd Nasir Yusoff

NUSA DUA (Bali), 12 Dis (Bernama) -- Sambil menegaskan negara-negara maju mesti melakukan lebih banyak usaha bagi menangani kesan pemanasan global, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyeru setiap negara seharusnya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya menjadi sebahagian masalah yang merumitkan itu.

Beliau berkata negara-negara maju mesti terus menerajui kepimpinan berhubung perubahan iklim, melakukan usaha lebih giat bagi mengurangkan pengeluaran asap dan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara membangun.

"Mereka mesti meningkatkan perkongsian teknologi bahan bakar lebih cekap dengan negara-negara membangun, mereka mesti meningatkan aliran kewangan bagi mitigasi dan penyesuaian di negara-negara membangun.

"Negara-negara maju mempunyai keupayaan, mereka mempunyai sumber kewangan dan mereka mempunyai teknologi untuk melakukan perkara ini," katanya dalam ucaptama pada sesi pleno peringkat tinggi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCCC) di sini pada Rabu.

Memuji negara-negara dan rantau yang bertindak proaktif mengambil tindakan segera, adalah kritikal bagi negara-negara maju mengadakan lebih banyak perkongsian aktif dengan negara-negara membangun bagi melindungi hutan-hutan mereka menerusi kaedah pampasan dan insentif yang kreatif.

Melainkan jika manusia mencipta mesin yang boleh menyerap karbon dioksida daripada atmosfera yang menurut Susilo tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat, beliau berkata hanya hutan-hutan menjadi pilihan bagi resapan karbon.

Beliau turut memberitahu sejumlah kira-kira 10,000 peserta dari 190 negara bahawa bagi mengekalkan aset-aset sumber semula jadi, Indonesia bersama-sama Malaysia dan Brunei telah mewujudkan satu program besar " Heart of Borneo" yang bertujuan memulihara 22 juta hektar hutan hujan tropika.

"Kami (Indonesia) telah meningkatkan kempen perhutanan kebangsaan kami. Pada tahun ini sahaja, kami menanam 89 juta pokok. Apabila pokok-pokok cukup membesar beberapa tahun akan datang, pokok-pokok berkenaan akan menyerap bersama puluhan juta tan CO2 (karbon dioksida) yang terdapat dalam atmosfera," katanya.

Negara-negara membangun mesti turut memainkan peranan mereka, katanya, sambil menambah kata bahawa negara berkenaan mesti komited dalam pembangunan secara mapan, mengambil kira kepentingan alam sekitar dalam arus pembangunan dan berusaha melindungi dan memulihara hutan.

Bagi persidangan 12 hari yang akan tamat pada 14 Dis, beliau berkata mereka berada di sini bukan untuk mendengar cerita tentang bahaya pemanasan global atau menuding jari, tetapi membentuk hala tuju dan menggubal rangka kerja menyeluruh mengenai perubahan iklim mengikut Persidangan Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Sehubungan itu, Susilo berkata adalah kritikal bagi persidangan itu menghasilkan Pelan Tindakan Bali, pada akhir persidangan yang menyaksikan lebih 900 acara diadakan sepanjang tempoh 12 hari itu.

"Kami menyeru semua yang berada di sini menyelesaikan rangka kerja Protokol Kyoto dalam dua pertemuan di Poland dan Denmark. Dengan Pelan Induk Bali, kita boleh segera memulakan perundingan giat bagi merumuskan satu rangka kerja pelbagai hala pasca-2012 mengenai perubahan iklim," katanya.

Beliau mahu pelan tindakan itu mempunyai agenda jelas mengenai apa yang ingin dirundingkan, termasuk pembinaan blok utama yang dikenalpasti sekurang-kurangnya mengandungi mitigasi, penyesuaian, kewangan dan teknologi dan Pelan Tindakan Bali mesti mempunyai jangka waktu bagi menyelesaikan tugas.

Presiden Indonesia itu berkata persidangan itu harus memastikan ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat yang menjadi pengeluar terbesar pelepasan gas rumah hijau dan peneraju teknologi, menjadi sebahagian pakatan pasca-2012 kerana jika tidak isu perubahan iklim tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Perubahan iklim yang mengandungi isu kompleks, akronim yang sukar diingati, istilah teknikal dan mekanisme sukar tetapi hakikatnya mempunyai formula mudah bagi menyelesaikannya iaitu "Kurangkan Asap, Perbanyak Resapan", katanya.

Turut hadir pada persidangan itu adalah Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon manakala Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid mewakili Malaysia.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=302129

1 comment:

  1. Disebabkan pemanasan ini, try tengok suhu badan
    http://termometer-digital-suhu-badan-bbt.blogspot.com/

    ReplyDelete