Wednesday, November 7, 2012

Perut Bumi Kian Kering


Perut bumi makin kering
Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
abror@hmetro.com.my

JAWATAN Pengurus Kecekapan Tenaga di pejabat? Tiada yang aneh atau melucukan jika kita memang benar-benar berfikiran jauh dan mahu memanjangkan hayat keselesaan hidup seperti hari ini.

Ketika dunia menghadapi krisis makanan yang semakin berkurangan atau terlalu mahal, harga petroleum meningkat seperti tidak dapat dikekang sama sekali dan ancaman bencana alam berterusan, majoriti penduduk dunia masih leka dengan keselesaan seolah-olah tiada satu apa pun yang membimbangkan.

Masalah itu merunsingkan. Memang, tetapi ia tidak cukup untuk mendesak kita berfikir lebih jauh daripada persekitaran sangat terhad.

Barangkali fakta ini dapat membantu pemahaman anda:


# Ketika ini ada 98 negara pengeluar minyak di seluruh dunia dan 64 daripadanya dianggap melepasi tahap penghasilan puncak.

# Enam puluh daripada negara itu mula mengalami penurunan pengeluaran.

# Pengeluaran petroleum dari telaga minyak terbesar dunia, Ghawar, di Arab Saudi dijangka mula menurun sekitar 2010, atau mungkin ia kini bermula.

# Pengeluaran dari telaga minyak terbesar di Mexico, Cantarell, merosot dari 1.99 juta tong sehari pada Januari 2006 kepada 1.44 juta tong pada Disember 2006. Penghasilan purata Cantarell pada Disember adalah 2.98 juta tong sehari, turun di bawah 3 juta tong untuk kali pertama sejak enam tahun.

# Zaman bersenang-lenang warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan petroleum mula berakhir. Walaupun mendapat keuntungan besar daripada penjualan bahan itu, jangkaan permintaan keperluan elektrik UAE meningkat dan boleh menjadi dua kali ganda menjelang 2015 atau tiga kali ganda menjelang 2020.

Pada 1956, ahli geologi, M King Hubbert, meramalkan pengeluaran petroleum Amerika Syarikat mencapai kemuncaknya pada akhir 1960-an sebelum ia mula menurun tidak lama kemudian.

Walaupun jangkaan itu ditertawakan kebanyakan pihak, masa membuktikan Hubbert ternyata benar dalam ramalannya.

Penemuan itu menjadi rujukan dalam perbincangan mengenai isu petroleum dunia dan ia digelar sebagai Hubbert’s Peak.

Hubbert mendapati, petroleum sama seperti sumber alam semula jadi lain mempunyai tempoh hayat tersendiri dan pola sekata: peringkat permulaan, pertengahan (juga kemuncak) dan kemerosotan.

Ketika sumber bekalan petroleum semakin merosot, bagaimana kesedaran manusia terhadap kelestarian alam? Menyedihkan.

Justeru, kita sangat mudah melihat keadaan pembaziran berlaku secara meluas dan tidak terkawal. Penggunaan elektrik berlebihan dan melampau, misalnya.

Dalam satu kajian di kawasan kampus sebuah universiti di utara Malaysia, didapati daripada 260 bangunan dengan keluasan 350,000 meter persegi, penggunaan tenaga elektriknya sebanyak 33,590,000 kilowattjam (kWj) menyebabkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu membayar bil kira-kira RM8 juta setahun.

Pensyarah Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar, berkata penggunaan elektrik berkait secara langsung dengan kelestarian alam sekitar.

Katanya, melalui amalan penyeliaan baik, banyak tenaga, termasuk wang dapat dijimatkan.

“Kaedah penyeliaan baik ini tidak memerlukan pelaburan baru seperti ubah suai bangunan atau penukaran peralatan elektrik di bangunan,” katanya.

Mengambil contoh IPT tadi, katanya, amalan penyeliaan baik dapat menjimatkan kira-kira 10 peratus penggunaan elektrik yang bernilai kira-kira RM800,000 setiap tahun atau RM2.5 juta jika 35 peratus setahun dicapai.

Jumlah itu adalah satu angka besar dan menjadi lebih signifikan jika dilakukan secara menyeluruh di semua IPTA yang pada umumnya membayar bil sekitar RM1 juta sebulan.

Dengan penurunan permintaan elektrik yang ketara, penyedia bekalan (Tenaga Nasional) dapat menjimatkan berbilion ringgit wang untuk mendapatkan bahan bakar (petroleum) dan menyediakan rangkaian bekalan kepada pengguna.

Fakta yang perlu diakui dan difahami – setitis bahan bakar terbentuk di perut bumi memerlukan tempoh berjuta-juta tahun untuk dihasilkan, tetapi hanya sedetik untuk dimusnahkan.

Mungkinkah hidup dapat diteruskan jika akhirnya tamadun petroleum ini berakhir dengan pupusnya bahan bakar itu?

Apabila dikatakan tamadun petroleum berakhir, ia bukanlah bermakna bahan bakar itu kering mutlak dari muka bumi.

Ia mungkin masih ada tetapi kos untuk menggali dan memanfaatkannya jauh lebih tinggi berbanding keuntungan dagangannya.

Ia kira-kira samalah dengan tamadun zaman batu, tembaga atau ais. Semua bahan itu masih ada tetapi penggunaannya tidak praktikal disebabkan keadaan semasa.

Maka, perlu ditanya semula, mungkinkah hidup dapat diteruskan jika akhirnya tamadun petroleum ini berakhir dengan pupusnya bahan bakar itu? Mungkin.

Dengan memulihara sumber alam semula jadi, banyak masalah dapat dielakkan. Pemanasan global yang berkait rapat dengan krisis bekalan makanan, misalnya.

Menurut Mohd Zin, amalan menggunakan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT) dapat meminimumkan penggunaan elektrik sama ada di rumah, tempat awam atau pejabat.

“Mungkin perlu diwujudkan jawatan Pengurus Kecekapan Tenaga di pejabat sebagai langkah memantau, mengawal dan mengurus penggunaan elektrik menjadi optimum,” katanya.

Berdasarkan kajian, kira-kira 60 peratus tenaga elektrik dibazirkan akibat reka bentuk dan pengurusan salah bangunan di negara ini. Dengan mengamalkan penyeliaan baik dan program pengurusan tenaga yang betul, purata 10 peratus tenaga dapat diselamatkan.

Menurut kajian Mohd Zin, bangunan komersial dan pejabat di Malaysia hari ini mencapai Indek Tenaga Bangunan (BEI) purata sebanyak 250kWh bagi setiap meter persegi setahun.

Walaupun Jabatan Standard Malaysia mengeluarkan garis panduan supaya bangunan pejabat direka bentuk dengan sasaran BEI 135kW/j setiap meter persegi setahun, pencapaian serendah 100kW/j boleh dicapai seperti dibuktikan sebuah bangunan berkonsep Pejabat Guna Tenaga Rendah (Low Energy Office) di Putrajaya yang membuktikan potensi penjimatan sehingga melebihi 50 peratus tenaga berbanding bangunan yang sedia ada di seluruh Malaysia hari ini.

Ahli profesional seperti arkitek dan jurutera, sebenarnya boleh membuat sumbangan besar jika reka bentuk bangunan berasaskan ciri-ciri cekap tenaga diaplikasikan.

Masalahnya, tahap kesedaran dan amalan berkaitan kecekapan tenaga masih rendah sama ada di kalangan orang ramai mahupun kakitangan kerajaan dan pereka bentuk bangunan.

Dalam kajian berjudul ‘Program Pengurusan Tenaga Di Bangunan’ mendapati tahap kesedaran dan amalan terhadap penggunaan dan menguruskan tenaga elektrik didapati masih tidak memuaskan. 

Di salin dari: http://satuumat.blogspot.com/2008/05/perut-bumi-makin-kering.html

1 comment:

  1. Disebabkan pemanasan ini, try tengok suhu badan
    http://termometer-digital-suhu-badan-bbt.blogspot.com/

    ReplyDelete